Assalamualaikum dan Salam Mesra,
Aku dan wife berkesempatan untuk berkhemah selama satu malam di Phu Ruea National Park (Taman Negara Phu Ruea) selepas 3 hari kami berkampung di Phu Chi Fa. Phu Ruea National Park adalah sebuah kawasan pergunungan yang terletak di wilayah Loei atau lebih tepat lagi di dalam daerah Phu Ruea. Puncak Phu Ruea mempunyai ketinggian 1,365 meter dari aras laut dan merupakan gunung yang tertinggi di wilayah Loei. Ianya juga dikatakan adalah kawasan yang paling sejuk di Thailand. Berdasarkan beberapa info yang aku dapat, suhu malam di puncak Phu Ruea boleh menurun sehingga 0 darjah celcius di antara bulan Disember hingga Januari. Berbeza pula pengalaman kami sewaktu berada di puncak, suhu yang dicatatkan hanyalah 8 darjah celcius dan bagi aku suhu di Phu Chi Fa adalah lebih sejuk daripada Phu Ruea. Mesti anda rasa agak susah untuk menyebut perkataan “Phu Ruea” kan?…hihihi..samalah dengan aku. 😀 Setiap perbualan yang kami dengar, orang thai di Loei menyebut Phu Ruea seakan berbunyi seperti “Pu Rerr“.
Aku andaikan anda telah pun baca entri Phu Chi Fa: Permata Yang Tersembunyi Di Chiang Rai dan Phu Ruea pula adalah destinasi kedua dalam misi backpacker kami di tanah Thailand. Perjalanan bas dari Chiang Rai ke Chiang Mai telah mengambil masa selama 3 jam sebelum kami meneruskan lagi perjalanan selama 9 jam pada hari yang sama menuju ke terminal bas Loei. Bayangkan betapa kebasnya bontot kami duduk berjam-jam di dalam bas…hahahahaha.. 😀 Ada 2 misi sebenarnya di Loei tetapi aku akan ceritakan secara berasingan dan entri ini aku fokuskan khas kepada Phu Ruea terlebih dahulu.
Terminal bas Loei.
Di Loei, kami menginap di The Stay Guesthouse dan seperti biasa, bilik telah ditempah lebih awal sebelum ke Thailand berikutan tarikh yang kami pilih adalah tempoh paling sibuk di sana. The Stay Guesthouse dimiliki oleh John, seorang warga UK bersama isterinya yang berbangsa Thai dan ini juga adalah kali kedua kami menginap di sini. Menurut info daripada John, setiap hari ada perkhidmatan bas menuju ke Phu Ruea yang bertolak dari terminal bas Loei dan tiket boleh dibeli terus di kaunter. Perancangan awal memang kami bercadang untuk menaiki bas ke pekan Phu Ruea tetapi bila difikirkan kesukaran untuk mencari pengangkutan awam dari pekan Phu Ruea untuk ke Phu Ruea National Park. Akhirnya, kami mengambil keputusan untuk menyewa skuter yang comel daripada John. 🙂
Di mana Loei?…boleh rujuk peta di bawah….hihihihi.. 😀
Sebutan Loei akan berbunyi seperti “Leiiiii” tapi dengan nada yang lembut tau….:D
Dari Loei Ke Phu Ruea National Park
Jarak perjalanan dari Loei ke pekan Phu Ruea adalah sekitar 50 kilometer dan perlu ditambahkan lagi 9 kilometer untuk Phu Ruea National Park. Aplikasi Waze dan Google Maps memang cukup membantu perjalanan kami tanpa sebarang masalah. Dari Loei, hanya perlu menggunakan lebuhraya 21 sehinggalah ke pekan Phu Ruea. Memang cukup senang dan permandangan sepanjang perjalanan memang terbaik. Walau apa pun, tetap perlu berhati-hati disebabkan jalannya yang berbukit, bengkang-bengkok dan banyak juga kenderaan besar seperti lori dan bas menggunakan laluan yang sama. Memang syok layan corner…hihihihihi… 😀
The Stay Guesthouse, Loei –> Route 21 –> Phu Ruea –> Phu Ruea National Park.
Laluan masuk dari jalan besar ke Phu Ruea National Park memang agak tersembunyi tetapi tiada masalah jika anda mengikut laluan yang telah disediakan oleh aplikasi Waze. Jika anda jumpa papan tanda Phu Ruea National Park seperti gambar di bawah, itu bermakna anda berada di laluan yang betul. Dari sini, hanya perlu ikut papan arah sehinggalah jumpa pintu masuk (checkpoint) Phu Ruea National Park dan seterusnya ke Visitor Center 1 (National Park Headquarters), Lourn Noi Checkpoint hinggalah ke Visitor Center 2 (Campsite) tetapi sebelum itu anda pasti akan melalui Poinsettia Garden Phurua terlebih dahulu. Jangan lupa singgah untuk mencari cenderamata dari Phu Ruea untuk dibawa pulang. 😀
Bayaran masuk perlu dibayar di pintu masuk (checkpoint) Phu Ruea National Park sebelum meneruskan perjalanan.
Bayaran masuk Phu Ruea National Park:
Dewasa: 20 baht (thai), 200 baht (pelancong asing)
Kanak-kanak: 10 baht (thai), 100 baht (pelancong asing)
Kenderaan: 20 baht
Mungkin kami bernasib baik kerana pegawai renjer di pintu masuk (checkpoint) hanya minta 60 baht daripada aku (40 baht untuk berdua dan 20 baht untuk skuter) dan alhamdulillah dapatlah jimat 360 baht..hihihihi.. 😀 Kereta dan motosikal boleh dibawa masuk sehinggalah ke tapak perkhemahan di Visitor Center 2 tetapi laluan 1 kilometer ke puncak ditutup untuk semua kenderaan dan hanya dikhaskan untuk songthaew yang akan membawa pengunjung naik dan turun dari puncak Phu Ruea.
Laluan masuk ini bersebelahan dengan kedai 7-11, jangan lupa singgah untuk beli sedikit bekalan makanan dan air sebelum naik ke tapak perkhemahan.
Poinsettia Garden Phurua.
Anda akan jumpa taman bunga ini dulu selepas masuk simpang dari jalan besar ke Phu Ruea National Park.
Pintu masuk (checkpoint) ke Phu Ruea National Park. Bayaran masuk perlu dibayar di sini.
Visitor Center 1 (Headquarters) yang anda akan jumpa terlebih dahulu. Jangan lupa untuk singgah di sini dan dapatkan peta Phu Ruea National Park.
Peta Phu Ruea National Park. Laluan coklat adalah jalan bertar dan laluan tapak kaki adalah trek hutan.
Peta yang lebih besar dan versi PDF, boleh muat turun di sini.
Anda akan melalui Lourn Noi Checkpoint terlebih dahulu sebelum turun semula untuk ke Visitor Center 2 dan tapak perkhemahan. Jangan lupa untuk rujuk peta yang diberikan di Visitor Center 1 sekiranya anda tidak pasti. Kami menyewa khemah berserta kelengkapan yang lain di Visitor Center 2 dengan bayaran 320 baht semalam dan pasport akan disimpan oleh pegawai renjer sebagai cagaran.
Visitor Center 2.
Di sinilah kawasan tapak perkhemahan serta anda perlu pejabat visitor center 2 jika ingin menyewa khemah.
Kawasan perkhemahan di Visitor Center 2.
Khemah kami berwarna biru di sebelah kiri.. 😀
Mengemas tempat tidur dulu.
Ada juga yang berkhemah di luar tapak perkhemahan.
Tandas dan bilik mandi ada disediakan di tapak perkhemahan.
Kedai makan juga ada disediakan di tapak perkhemahan tetapi kami hanya beli milo atau nescafe 3 in 1 dan makan ubi rebus sahaja. Bolehlah…janji perut kenyang…hihihihihi.. 😀
Pekena ubi rebus dengan nescafe.
Lepak-lepak di sekitar tapak khemah.
Apa tu???… 😀
Kawasan tapak perkhemahan memang luas.
Ada juga air terjun tetapi airnya agak kering. Mungkin dah lama tidak hujan.
Salah satu air terjun di Phu Ruea National Park.
Tinggikan pokok tuu?.. 🙂
Perkhidmatan Songthaew Dari Visitor Center 2 Ke Puncak Phu Ruea
Seawal pukul 4 pagi, perkhidmatan songthaew (trak pickup) ada disediakan dari tapak perkhemahan untuk ke puncak Phu Ruea bagi pengunjung yang ingin menyaksikan matahari terbit. Perkhidmatan songthaew ini akan dibahagikan kepada 2 lokasi penghantaran. Songthaew dari Visitor Center 2 akan menghantar anda ke kawasan parkir Lourn Noi Checkpoint iaitu 1 kilometer dari puncak dan anda perlu menaiki songthaew yang lain dari Lourn Noi Checkpoint untuk ke puncak. Tambang songthaew hanyalah 10 baht sehala. Jarak dari tapak perkhemahan ke kawasan parkir Lourn Noi Checkpoint adalah lebih kurang 1.5 kilometer dan aku nasihatkan supaya anda gunakan perkhidmatan songthaew.
Ada juga kedai makan di tempat parkir Lourn Noi Checkpoint sebelum ke puncak.
Di Lourn Noi Checkpoint. Masing-masing sedang beratur untuk menaiki songthaew untuk ke puncak.
Songthaew untuk ke puncak.
Ada jutaan bintang di langit tapi biasalah kamera murah…. 😀
Lepak-lepak sambil menunggu sang mentari.
Sang mentari baru nak muncul… 😀
8 darjah celcius katanya..hihihihi.. 😀
Antara tempat yang harus bergambar.
Puncak Phu Ruea
Jangan lupa untuk bergambar di sini… 😀
Info mengenai Phu Ruea National Park
Ada banyak sebenarnya trek hutan. Mungkin boleh cuba kalau ada banyak masa.
Permandangan dari Lourn Noi Cliff.
Amacam?… 😀
Macam lukisan kan?….
Trek ini menuju ke puncak dan juga Lourn Noi Cliff. Mungkin turun dari puncak boleh cuba trek ini dan jangan lupa singgah di Lourn Noi Cliff.
Selepas turun dari puncak, kami terus mengemas khemah dan mengambil pasport di pejabat renjer sebelum mulakan perjalanan balik ke The Stay Guesthouse. Oleh kerana akses yang senang ke puncak Phu Ruea, anda mungkin boleh menyewa kenderaan dan singgah di Phu Ruea National Park untuk jangkamasa separuh hari tetapi aku sarankan supaya anda bermalam dan cuba terokai trek-trek yang ada di Phu Ruea.
Mungkin anda ingin tahu bagaimana untuk ke Loei?. Jangan risau, aku ada sediakan sedikit info untuk anda.
Bagaimana Untuk Ke Loei Dari Bangkok
Anda perlu ke Loei terlebih dahulu sebelum menuju ke Phu Ruea tetapi walau apa pun, perjalanan tetap akan bermula dari Bangkok. Sebelum itu, aku nasihatkan supaya anda baca entri Bagaimana Untuk Ke Hatyai Dan Bangkok Menggunakan Bas Atau Keretapi sebagai panduan untuk ke Bangkok sekiranya penerbangan bukan pilihan utama anda.
Ada 3 cara untuk anda ke Loei iaitu menggunakan perkhidmatan bas, penerbangan domestik ataupun menyewa kenderaan. Disebabkan jarak perjalanan yang agak jauh, mungkin anda perlu berfikir 2 kali sekiranya ingin menyewa kenderaan. 😀
Perkhidmatan Bas Bangkok – Loei
Dari Bangkok anda boleh menaiki bas di Terminal Bas Morchit ( Morchit Bus Terminal @ Northern Bus Terminal) untuk ke Loei. Jadual perjalanan bolehlah disemak dan tiket juga boleh dibeli secara online di laman web 12go.asia ataupun di www.busticketonline.co.th untuk melancarkan lagi perjalanan anda. Perjalanan akan mengambil masa kira 8 hingga 9 jam dan dinasihatkan supaya memilih jadual perjalanan di sebelah malam supaya anda dapat menjimatkan kos penginapan.
Penerbangan Domestik Bangkok – Loei
Bandar Loei tidak mempunyai stesen keretapi tetapi ianya mempunyai lapangan terbang dan bagi anda yang lebih mementingkan masa daripada wang, mungkin penerbangan adalah pilihan anda. Penerbangan domestik ada disediakan oleh operator tambang murah seperti Thai Asia dan juga Nok Air dari Lapangan Terbang Don Mueng, Bangkok yang akan mengambil masa 1 jam penerbangan. Jadual perjalanan, harga dan pembelian tiket penerbangan secara online, bolehlah rujuk di laman web 12go.asia atau carian di atas.
Walaupun penerbangan tambang murah tetapi tetap mahal bagi aku dan perkhidmatan bas sentiasa menjadi pilihan aku dan wife….hihihihihi.. 😀
Pengangkutan Awam Dari Loei Ke Phu Ruea National Park
Sekiranya anda tidak ingin menyewa kenderaan, di Terminal Bas Loei ada disediakan perkhidmatan bas secara harian ke daerah Dan Sai dan akan melalui Phu Ruea. Anda perlu menaiki bas ke Dan Sai dan maklumkan kepada pemandu atau konduktor bas bahawa anda ingin turun di Phu Ruea. Tiket hanyalah boleh dibeli di kaunter terminal bas Loei dan tidak boleh dibeli secara online. Aku tidak pasti berapa harga tiket tetapi rasanya dalam lingkungan 50-100 baht bagi perjalanan lebih kurang 1 setengah jam. Dari pekan Phu Ruea anda boleh cuba mencari songthaew untuk ke Visitor Center 1 atau Lourn Noi Checkpoint dan dari situ anda boleh menaiki songthaew lain untuk ke Visitor Center 2. Pilihan lain anda boleh berjalan kaki hingga ke Visitor Center 1 dan teruskan perjalanan melalui trek hutan untuk ke Visitor Center 2 tetapi jarak perjalanan adalah amat jauh. Sila rujuk peta Phu Ruea National Park di atas.
Aku harap maklumat dalam entri ini berguna sebagai rujukan kepada sesiapa yang ingin merancang untuk ke sana. Di bawah aku kongsikan sedikit maklumat kos kami untuk ke Phu Ruea National Park dari Loei.
- Sewa skuter dari guesthouse – 250 baht untuk 24 jam
- Penginapan (khemah dan kelengkapan lain) – 320 baht semalam
- Bayaran masuk Phu Ruea National Park (Entry Fee) – 20 baht seorang (sepatutnya 200 baht seorang)
- Bayaran masuk kenderaan (Vehicle Fee) – 20 baht
- Caj perkhidmatan tapak khemah (Servis Fee) – 30 baht seorang
- Kos makanan – 120 baht untuk 2 orang
- Petrol – 75 baht
- Bayaran songthaew – 30 baht seorang (Jimat 10 baht seorang sebab kami jalan kaki dari puncak ke Lourn Noi Checkpoint)
Jumlah pembelanjaan kami ke Phu Ruea National Park ialah 945 baht untuk berdua dan tidak termasuk kos penginapan dan pengangkutan kami di Loei seperti di bawah.
- Penginapan di The Stay Guesthouse – 300 baht semalam
- Pengangkutan tuk-tuk di Loei – 240 baht (terminal bas – guesthouse – terminal bas)
- Kos makanan dan lain-lain – 200 baht
Akhir kata dari aku “Selamat Mengembara”. Ada 1 gunung lagi yang kami singgah di Loei, ingin tahu gunung apa?…. tunggu entri seterusnya….tungguuuuuu…. 😀
Nota: Untuk makluman, ini bukanlah entri berbayar dan tiada hubungkait dengan url laman web pihak ketiga yang dimasukkan ke dalam entri ini. Entri ini adalah bertujuan untuk membantu serta berkongsi maklumat sebagai sumber rujukan. Sekiranya anda rasa entri ini amat berguna, harap dapat dikongsikan bersama rakan-rakan dan jangan lupa tinggalkan komen anda di ruang di bawah. Terima kasih. 😀
Kalau nak belanja Teh Tarik pun boleh, dapat juga tolong tampung sikit kos sewa hosting aku….hihihihihi.. 😀

best nya bro… teringin..
Memang best bro…hihihihihi… 😀